BINTULU: Seorang pekerja swasta di sini menjadi mangsa sindiket yang menawarkan kerja sambilan tidak wujud sehingga mangsa mengalami kerugian RM6,579.10 dalam kejadian pada 3 November lalu.
Ketua Polis Daerah Bintulu Superitenden Zulkipli Suhaili (gambar) berkata susulan itu mangsa yang merupakan seorang lelaki berumur 32 tahun telah membuat laporan polis pada 8 November lalu.
Mangsa terpedaya setelah melihat iklan tawaran kerja sambilan dalam talian dan seterusnya menghubungi pihak berkenaan untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.
"Mangsa seterusnya dimasukkan ke platform 'online partime group WhatsApps' yang mana semua pekerja sambilan akan dikumpulkan dalam satu platform berikutnya," ujarnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, mangsa tertarik dengan iklan tersebut dan telah mendorong mangsa untuk menyertai kerja sambilan itu untuk mendapatkan komisyen.
Beliau berkata, mangsa telah diminta melakukan beberapa tugasan yang diberikan dengan membuat pembayaran untuk menyempurnakannya.
"Mangsa telah membuat pembayaran sebanyak enam kali transaksi ke dalam tiga akaun berbeza sehingga mangsa menyedari ditipu dengan mengalami RM6,579.10," katanya.
Ujarnya, polis Bintulu sentiasa mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan tawaran kerja sambilan dengan mendapatkan komisyen yang lumayan mahupun dengan pelbagai tawaran yang diberikan.
"Orang ramai dinasihatkan agar membuat semakan dengan pihak berkenaan sebelum membuat sebarang pinjaman dari laman sosial," tambahnya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki berumur 29 tahun menjadi mangsa penipuan sindiket pinjaman tidak wujud sehingga mengalami kerugian RM1,670 dalam kejadian pada 31 Oktober lalu sehingga laporan polis dibuat oleh mangsa pada 8 November lalu.
Zulkipli berkata, kejadian berlaku pada 31 Oktober lalu apabila mangsa mencari iklan tawaran pinjaman wang.
Mangsa telah berhubung dengan agen berkenaan dan agen itu memaklumkan kepada mangsa bahawa pinjaman mangsa telah diluluskan.
"Pada 1 dan 5 November lalu mangsa telah dihubungi oleh sindiket untuk melakukan pembayaran kepada syarikat untuk urusan insurans pinjaman dan urusan pentadbiran pinjaman ke dalam beberapa nombor akaun yang telah diberikan oleh suspek," katanya.
Beliau berkata, mangsa tanpa ragu-ragu telah menuruti permintaan suspek.
Ujarnya, setelah dua kali transaksi, mangsa menyedari telah ditipu oleh sindiket pinjaman tidak wujud tersebut kerana sindiket itu masih meminta mangsa membuat pembayaran namun wang pinjaman belum diterima oleh mangsa.
utusanborneo.com.my/2021/11/10
|