![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20211111/whatsappimage2021-11-11at150130.jpeg)
Abang Johari (tengah) dibantu Kho mencuba aplikasi dBazzar sambil disaksikan (dari kanan) Dr Sim, Dr Chan dan Jaul. -Gambar PENERANGAN.
KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan Sarawak melihat serius usaha menambah baik sistem penghantaran e-dagang di negeri ini.
Beliau berkata usaha itu penting kerana ia antara pemboleh kepada perniagaan kecil dan besar menerokai e-dagang yang mempunyai pasaran tanpa sempadan.
Beliau berkata selain infrastruktur digital yang baik seperti perkhidmatan internet, big data dan pangkalan data transaksi dan penghantaran produk yang lancar serta pantas kepada pelanggan domestik juga antarabangsa sangat penting.
"Ini adalah rantaian dalam mana-mana e-dagang dan pembolehnya sama ada menerusi rantaian blok atau mana-mana teknologi bagi membolehkan komuniti niaga menjangkau rantaian bekalan terakhir iaitu pelanggan.
"Maknanya, produk yang dihasilkan di Sarawak boleh dipasarkan ke seluruh dunia tanpa menjejaskan kualitinya. Oleh itu, kerajaan negeri melihat dengan lebih serius untuk menambah baik infrastruktur penghantaran di negeri ini khasnya di luar bandar," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran rasmi dBazzar di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.
Abang Johari berkata dengan mempunyai sistem penghantaran bertaraf antarabangsa, Sarawak boleh menjadi pusat pengeluaran produk dunia dengan kelebihan sumber-sumber yang ada selain produk-produk unik seperti pua kumbu dan sebagainya.
Bagaimanapun, katanya, untuk memastikan produk dari Sarawak sampai kepada pelanggan pada waktu tertentu tanpa menjejaskan kualiti sistem penghantaran yang baik amat penting termasuk perniagaan kargo.
"Sistem penghantaran yang baik seharusnya menghubungkan hab-hab pengeluaran kita di Sibu, Miri dan Kuching kemdiannya dihubungkan dengan hab antarabangsa bagi membolehkan produk-produk keluaran Sarawak dipasarkan ke seluruh dunia.
"Jadi inilah bidang yang sedang kita teliti dan diharap terutamanya golongan muda , ini era baharu bagi mereka, mesti melihat hala tuju pembangunan kerajaan negeri.
"Hakikatnya kita lebih baik berbanding dari negeri-negeri lain di Malaysia dari segi digital ekonomi... Semua ini perlu perancangan yang baik, anda tahu ia tidak mudah dilakukan, untuk melakukannya harus ada sebuah kerajaan berwawasan, boleh melihat masa depan.
"Ini sudah tentu khas untuk golongan muda, generasi masa depan kita," ujarnya.
Mengenai dBazzar, Abang Johari berkata ia akan mengubah cara komuniti niaga di negeri ini mengendalikan perniagaan masing-masing tidak hanya secara domestik tetapi menjangkau pelanggan di seluruh dunia.
"Taniah kepada dBazzar dan SAINS Sarawak selaku rakan kongsi membangunkan platform e-dagang milik rakyat Sarawak yang mampu setanding Alibaba.
dBazzar merupakan aplikasi e-dagang yang dibangun serta dimiliki anak Sarawak sendiri, Kent Kho selaku Ketua Pegawai Eksekutif serta pengasas dBazzar, adalah platform digital semua dalam satu menggabungkan panduan e-perniagaan, e-dagang, e-logistik, e-loyalty dan e-ganjaran.
Aplikasi e-dagang itu juga merupakan usaha kolaborasi antara platform e-dompet pertama Sarawak, S Pay Global dan Sarawak Information Systems (SAINS) , berhasrat menyediakan pengalaman gaya hidup digital sebenar.
Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Pengerusi SAINS Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Ama Jaul Samion dan Ketua Pengawai Eksekutif yang juga Pengasas dBazzar Ken Kho.
utusanborneo.com.my/2021/11/11
|