View: 364|Reply: 0
|
[Sarawak]
Pemandu guna, palsukan nombor pendaftaran dan ubah enjin kenderaan didenda RM20,000
[Copy link]
|
|
MIRI: Seorang pemandu didenda RM20,000 atau 20 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret kerana kesalahan memalsukan nombor pendaftaran, menggunakan nombor pendaftaran dan cukai jalan kenderaan lain serta mengubah enjin kenderaannya.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Md. Syafique Md. Hilmie setelah meneliti kesemua aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes serta mengambil kira berat kesalahan yang dilakukannya.
Lim Jiah Wie, 24, dari Piasau telah didakwa atas tiga tuduhan masing-masing mengikut Seksyen 108 (3) (a), Seksyen 108 (3) (b) dan Seksyen 108 (3) (f) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333/87).
Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda tidak kurang dari RM5,000 dan tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak kurang dari setahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan bagi setiap tuduhan dihadapi.
Berdasarkan tuduhan pertama, tertuduh sebagai pemandu sebuah kenderaan jenis Honda Accord dengan nombor pendaftaran SB5888E (palsu), didapati telah memalsukan atau mengubah nombor pendaftaran yang dipandunya itu.
Manakala dalam tuduhan kedua, tertuduh juga didapati telah menggunakan dan memiliki nombor pendaftaran serta cukai jalan milik kenderaan lain dengan tujuan untuk memperdayakan pihak berkuasa semasa ditahan dalam satu sekatan jalan raya.
Sementara bagi tuduhan ketiga, tertuduh didapati telah mempamerkan atau mengubah enjin kenderaan yang dipandunya itu.
Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 11 pagi, 16 September lalu di Jalan Datuk Edward Jeli di sini.
Bagi kesalahan pertama, tertuduh didenda RM5,000 atau lima bulan penjara; kesalahan kedua didenda RM7,000 atau tujuh bulan penjara dan kesalahan ketiga, denda RM8,000 atau lapan bulan penjara.
Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
utusanborneo.com.my/2021/11/11
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|