Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek. Foto Mohd Amin Jalil
Seremban: Usaha untuk melahirkan golongan profesional kalangan hufaz akan terus diperhebatkan apabila kerajaan negeri kini menawarkan pelajar lepasan tahfiz mengikuti program akademi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Fast Track dalam aliran sains.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, program berkenaan akan bermula Januari 2022.
"Sejak awal tahun lalu, program SPM Fast Track hanya membabitkan bidang pengajian Islam yang setakat ini menampakkan kejayaan dan kini program itu diperluaskan dalam aliran sains. "Justeru, kita menawarkan tempat bagi pelajar aliran agama di sekolah pondok untuk mengikuti program ini yang akan bermula Januari depan.
"Program ini akan dijalankan di Sekolah SRI Seremban selama tempoh dua tahun," katanya di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan berkata, kerajaan negeri menetapkan sasaran untuk melahirkan seramai mungkin jurusan profesional seperti akauntan, peguam, jurutera, doktor perubatan serta lain-lain yang hafiz dan hafizah.
Menurutnya, di samping pembelajaran akademik SPM, program ini akan memastikan tahap hafalan pelajar adalah yang terbaik termasuk menguasai 30 juzuk al-Quran.
"Pelajar juga akan diajar mata pelajaran Bahasa Arab untuk memastikan penguasaan bahasa itu yang baik di samping pelajaran asas Islam," katanya.
Disiarkan pada: November 12, 2021 @ 12:44pm
|