Kuala Terengganu: Kerajaan negeri mengumumkan pemberian bonus RM700 kepada kira-kira 14,000 penjawat awam termasuk kakitangan kontrak di Terengganu.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan berita gembira itu ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2022 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pemberian bonus itu sebagai menghargai jasa penjawat awam yang menggerakkan jentera kerajaan demi menjamin perkhidmatan yang terbaik dapat disampaikan kepada rakyat dengan pembayaran bonus itu dijangka dibuat pada Januari depan.
Menurutnya, kerajaan negeri turut mengumumkan bantuan tunai sekali bayar (one-off) sebanyak RM150 kepada golongan belia bagi menyokong kewangan golongan berkenaan.
Katanya, bantuan berkenaan akan disalurkan kepada 66,400 belia bujang berusia antara 18 hingga 39 tahun dan 21,800 mahasiswa daripada isu rumah berpendapatan RM4,000 dan ke bawah.
"Diharapkan bantuan ini dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk memenuhi keperluan," katanya.
Mengulas mengenai 20 Manifesto Terengganu (MT20), Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri sudah melaksanakan 18 daripada 20 manisfesto Pilihan Raya Umum Ke-14(PRU-14) selepas mengambil alih pentadbiran negeri pada 2018.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang berkata, empat manisfesto sudah bertukar status kepada dilaksanakan menjadikan keseluruhannya 18 manifesto berbanding 14 manisfesto yang diumumkan pada Mei lalu.
"Empat manisfesto itu ialah Perkampungan Darul Barakah, Wad Kelas 3 Percuma, Skim Pembiayaan Perumahan Terengganu (i-Rahman) dan Pencen Rakyat Warga Emas manakala baki dua manisfesto lagi adalah Bandar Baharu Lestari dan Institut Pengajian Tinggi Islam Negeri kini dalam pelaksanaan.
"Bagi Bandar Baharu Lestari, Bukit Seraya di Kuala Nerus dipilih sebagai lokasi rintis dan satu pasukan khas ditubuhkan untuk memastikan pelan secara teknikal dan mikro dapat dilaksanakan dengan baik dan secepat mungkin.
"Bagi Institut Pengajian Tinggi Islam Negeri pula, kerajaan negeri bersetuju untuk menaik taraf Kolej al-Quran Terengganu dengan membina sebuah kampus induk di Durian Mentangau di Dungun di atas tanah berkeluasan 121 hektar membabitkan kos berjumlah RM350 juta dan kerajaan negeri berhasrat mengadakan majlis pecah tanah pada awal tahun depan.
"Walaupun ada sesetengah pihak berhelah dengan mengatakan bahawa manisfesto hanyalah umpan pilihan raya dan bukan kitab suci, kita sebagai orang Islam tetap beriman bahawa janji wajib ditunaikan semampunya," katanya.