Kuala Terengganu: Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan raya menerusi i-Fitri kepada seramai 115,000 rakyat yang layak pada tahun depan membabitkan peruntukan kira-kira RM33.47 juta.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan berjumlah RM400 akan disalurkan kepada 31,500 isi rumah miskin manakala bantuan RM250 pula diberikan kepada 83,500 isi rumah berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000.
"Bantuan berkenaan akan disalurkan menjelang hari raya nanti dan diharapkan ia dapat menyokong kewangan kesemua isi rumah B40 dan sebahagian isi rumah M40 supaya dapat meraikan Aidilfitri dengan lebih meriah dan berkat selepas dua tahun menyambutnya dengan penuh keterbatasan," katanya ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2022 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Sebelum ini, pemberian dana raya yang menjadi tradisi pemberian kerajaan negeri Terengganu kepada rakyat negeri yang layak ditukar kepada bantuan Covid-19.
Ahmad Samsuri pada Mei lalu memaklumkan bantuan Covid-19 iaitu wang tunai atau barangan keperluan bernilai RM100 itu memberi manfaat kepada 32,000 rakyat negeri ini ketika Ramadan lalu.
Dalam belanjawan bertemakan 'Merakyatkan Sejahtera Untuk Semua' itu, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta untuk penganjuran Majlis Walimatulurus Perdana.
"Selepas dua tahun ditangguhkan, ia akan dianjurkan semula bagi meringankan beban belia untuk mendirikan rumah tangga dan seramai 400 pasangan disasarkan akan menyertai program berkenaan," katanya.
Majlis Walimatulurus Perdana yang dianjurkan kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) turut mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan terbuka kepada rakyat negeri Terengganu yang berumur 18 tahun ke atas untuk menyertai karnival perkahwinan dengan pelbagai intensif yang ditanggung oleh YPKT.