Kota Tinggi: Dua petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) cedera selepas ambulans dinaiki terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain di Kilometer 68.5 Jalan Sungai Rengit - Kota Tinggi, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan membabitkan ambulans, kereta Proton Saga dan kereta Perodua Kenari itu pada 12.25 tengah hari.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta Proton Saga berusia 26 tahun dari arah Kota Tinggi hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan ambulans dari arah Sungai Rengit menghala ke Kota Tinggi.
"Pada masa sama, sebuah Perodua Kenari yang berada di belakang ambulans itu cuba mengelak ke kiri jalan, tetapi terlanggar belakang ambulans lalu terbabas ke dalam longkang.
"Akibat kejadian itu, pemandu ambulans dari Klinik Air Tawar berusia 51 tahun dan penumpang belakangnya iaitu jururawat berusia 37 tahun cedera," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemandu kereta Proton Saga dan penumpangnya berusia 45 tahun parah manakala pemandu kereta Perodua Kenari tidak cedera.
Katanya, semua mangsa cedera dibawa ke Hospital Kota Tinggi dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.