PIHAK bomba menyelamatkan 21 petugas KKM yang terkandas di Pos Tohoi, Gua Musang akibat jambatan runtuh dan hujan lebat, hari ini. FOTO ihsan bomba
Kuala Lumpur: Seramai 21 petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang terkandas di Pos Tohoi, Gua Musang, Kelantan hampir 24 jam diselamatkan pihak bomba, hari ini.
Pengarah Bahagian Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Nazili Mahmood berkata, pihaknya menerima permohonan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) berhubung perkara itu, semalam.
"Kami dimaklumkan 21 petugas KKM terkandas di Pos Tohoi berikutan laluan darat di lokasi terbabit terputus hubungan akibat jambatan runtuh dan hujan lebat.
"JAKOA menghantar permohonan kepada kami untuk membawa mereka keluar melalui udara dengan menggunakan helikopter memandangkan perjalanan menggunakan jalan darat mengambil masa lima hari untuk sampai ke Kuala Lumpur," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Nazili berkata, operasi penyelamatan itu sepatutnya dijalankan semalam, namun ditangguhkan kerana cuaca buruk.
Beliau berkata, operasi dijalankan dengan penerbangan dari Pulau Langkawi, Kedah, pada 9.20 pagi memandangkan mereka ada tugasan di sana (Pulau Langkawi) membabitkan lima pegawai dan anggota bomba.
Katanya, helikopter tiba di Pos Tohoi pada 11.10 pagi bagi menyelamat 21 petugas KKM berkenaan sebelum mereka selamat tiba di Subang, Selangor pada 12.20 tengah hari.