Dia antara 300 penerima bantuan 'bakul makanan' disumbangkan pertubuhan Muslim Care Malaysia (MCM) dan Yayasan Amal Malaysia di padang sebuah sekolah di penempatan itu pagi semalam.
Pemberian bakul makanan itu adalah hasil sumbangan diperoleh MCM melalui kempen 'Care4Afghan' yang dilakukan bagi membantu rakyat Afghanistan sejak September lalu.
Mohd Wahid berkata, sumbangan makanan diterima itu adalah 'talian hayat' untuk keluarganya meneruskan kehidupan sepanjang musim sejuk ini.
"Terima kasih rakyat Malaysia yang prihatin dan bersimpati terhadap nasib kami di negara ini," katanya.
Seorang lagi penerima bantuan yang juga lelaki cacat penglihatan, Abdul Walid Nur Mohd, 18, memberitahu terpaksa bergantung belas ehsan jiran untuk memberikannya makanan setiap hari.
Sementara itu, Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan berkata, pengagihan makanan dilakukan semalam mampu menampung kehidupan lebih 2,000 individu dan ahli keluarga masing-masing.
Menurutnya, sumbangan membabitkan pemberian tepung gandum seberat 50 kilogram, beras dan minyak masak hasil derma sepenuhnya dari rakyat Malaysia yang prihatin terhadap nasib saudara seagama.
"Sumbangan ini khusus diberikan kepada golongan miskin, cacat anggota, anak yatim dan ibu tunggal yang amat memerlukan perhatian.
"Semoga segala amal soleh dan kebajikan dilakukan rakyat Malaysia akan diberikan ganjaran oleh Allah SWT," katanya.
Semalam, MCM turut mengagihkan 300 bakul makanan kepada 1,500 penerima di kawasan penempatan Pulicharkhi di sini.