BILIK air perlu dicuci dengan kerap berikutan ia antara lokasi bakteria membiak. Disebabkan itu, bilik air tidak boleh dianggap seperti ruangan lain di rumah yang hanya dicuci ala kadar.
Bakteria yang paling banyak ditemui dalam bilik air adalah bacteroidaceae, E coli, streptococcus dan salmonella. Tanpa sedar kita lazim terdedah kepada jenis bakteria terbabit dalam rutin harian terutama ketika berada di bilik berkenaan.
Sudah tentu kerja membersihkan bilik air adalah aktiviti yang paling kurang digemari kerana perlu banyak memberus, menyental dan menggosok terutama jika banyak daki degil.
Ia sama seperti dapur memasak apabila kerja mencuci mengambil masa agak lama kerana membabitkan banyak jenis permukaan di samping bilik air juga digunakan setiap hari.
Biarpun kerja mencuci bilik air boleh membuat anda geli-geleman, beberapa tip daripada bahan sedia ada di dapur boleh membantu memudahkan kerja selain mengekalkan kebersihan lebih lama.
1. Cermin
Gunakan campuran separuh cuka dan separuh air untuk mencuci cermin. Masukkan campuran dalam botol penyembur dan semburkan rata pada cermin. Gunakan kain daripada baju kemeja-T lama anda atau boleh juga gunakan surat khabar untuk mengelap cermin. Namun, anda juga boleh menggunakan kain serat mikro untuk mengelap cermin tanpa semburan bahan kimia.
2. Jubin dan singki
Basahkan permukaan jubin lantai atau singki dengan air atau cuka dan taburkan serbuk penaik. Biarkan selama lima minit dan sental dengan berus. Tambah lagi cuka jika kotoran masih degil.
Bagi jubin dinding, daun pintu bercat atau tompokan daki pada pintu, gunakan campuran serbuk boraks bersama sabun, soda, minyak pati lemon dan air suam.
3. Tab mandi
Buat serbuk penyental sendiri daripada campuran serbuk penaik, garam, soda dan minyak pati.
4. Mangkuk tandas
Taburkan serbuk penaik di sekeliling mangkuk tandas termasuk bahagian dalamnya. Masukkan cuka ke dalam mangkuk tandas. Gabungan serbuk penaik dan cuka menghilangkan kotoran termasuk menyahkan bau. Keseluruhan tandas boleh dicuci menggunakan semburan hidrogen peroksida tidak larut.
5. Pancuran air mandian
Campuran air dan cuka boleh membersihkan pancuran mandi termasuk membuang kotoran yang menyebabkan pancuran tersumbat.
6. Bilik air
Buat penyegar udara sendiri menggunakan campuran serbuk penaik dan minyak pati. Masukkan campuran ke dalam botol dengan penutup yang ditebuk lubang kecil. Tambah minyak pati jika mahu menghasilkan bau lebih kuat.
MINYAK pati sebagai penyegar bilik air.