TIGA pasukan berbasikal memulakan kayuhan dari Dataran Alor Setar, pada malam tadi. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Alor Setar: Seramai 22 peserta daripada tiga kelab berbasikal di negeri ini bergabung untuk mencipta rekod kayuhan dari Kedah ke Johor sejauh 800 kilometer (km) yang mengambil masa kira-kira dua hari.
Mereka terdiri daripada ahli tiga kelab iaitu Jitra Cycling Team (JCT), Padang Terap Cycling Group (PTCG) dan Geng Kuala Cycling Club (GKCC).
Presiden GKCC, Aziz Abdullah berkata, mereka sepakat bergabung bagi mencipta kayuhan basikal ke Johor dalam tempoh yang singkat bermula malam tadi dan dijangka pulang ke sini, pada Isnin ini.
Beliau berkata, mereka melakukan latihan mengayuh hampir setiap hari selain bersedia dari segi mental dan fizikal untuk mendapatkan stamina.
"Sebelum ini kami sudah pernah melakukan kayuhan bersama di sekitar Kedah.
"Kami berhasrat untuk menambah jarak lebih jauh dengan memilih Johor sebagai destinasi untuk kayuhan kali ini dan sasaran kami adalah ke Tanjung Piai ," katanya ketika ditemui sebelum di Dataran Alor Setar, di sini, malam tadi.
Mereka berlepas pada 10 malam dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengiringi acara kayuhan itu.
Aziz berkata, PDRM banyak membantu dari segi kemudahan, bantuan dan keselamatan malah mereka turut mendapat sokongan daripada Persatuan Berbasikal Negeri Kedah (PBNK).
Beliau berkata, objektif utama kayuhan adalah untuk memupuk semangat ukhwah dalam kalangan tiga pasukan.
"Kami akan cuba secepat mungkin untuk sampai di Johor, malah akan meminimumkan rehat dan dijangka sampai di Tanjung Piai, pada tengah hari Ahad.
"Untuk kayuhan hari pertama esok (hari ini), kami akan berehat tiga atau empat jam di Teluk Intan, Perak dan selepas itu kami akan sambung ke Melaka sebelum terus ke Tanjung Piai," katanya.
Aziz berkata, sekiranya misi kali ini berjaya, mereka bercadang akan melakukan kayuhan di seluruh Malaysia.
Disiarkan pada: Disember 10, 2021 @ 8:20am
|