![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20211210/mahkamahkuchin2.jpeg)
KUCHING: Seorang penganggur lelaki didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mencungkil tanda nama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan mengorek sepohon pokok bunga di premis tersebut dengan tujuan untuk menjualnya semula.
Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali juga mengarahkan tertuduh, Mohamad Zaidie Uki, 32, yang mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut, untuk dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.
Tertuduh dari Kampung Semariang Baru itu didakwa melakukan khianat dengan merosakkan harta benda milik DBP iaitu mencungkil tanda nama DBP serta mengorek sepohon pokok bunga di premis tersebut sehingga mengakibatkan kerugian berjumlah RM1,000.
Perbuatan itu didakwa dilakukannya pada 7 Disember lalu, jam lebih kurang 12.45 tengah hari di DBP cawangan Sarawak di Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub di sini.
Berdasarkan keterangan kes, semasa pengawal keselamatan (pengadu) membuat rondaan di sekitar premis tersebut, pengadu ternampak tertuduh sedang mencungkil tanda nama DBP yang berada di dinding luar bangunan.
Tertuduh juga dilaporkan mengorek sepohon pokok bunga yang ditanam berhampiran pintu masuk premis tersebut.
Hasil siasatan mendapati tertuduh masuk ke kawasan premis dengan cara mengaku dirinya sebagai pekerja Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
Susulan itu, pengadu menahan tertuduh dan memaklumkan kejadian kepada rakan sekerjanya agar menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.
Antara barangan yang dirampas adalah sebatang pokok bunga, sebilah sabit dan gunting serta satu bungkusan plastik berisi kepingan aluminium.
Difahamkan, tertuduh bertindak sedemikian kerana hendak menjual semula pokok bunga serta tanda nama terdiri daripada huruf aluminium tersebut kepada orang yang hendak membelinya kelak.
Sehubungan itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa dan disabitkan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad.
utusanborneo.com.my/2021/12/10 |