Segamat: Anggota pasukan tindakan kecemasan (ERT) kilang yang melecur ketika membantu memadamkan kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu di sini, Sabtu lalu meninggal dunia, hari ini.
Mohamad Azuraini Mahrani, 40, yang dirawat di Hospital Segamat meninggal dunia pada 9.24 pagi, beberapa jam selepas pemergian anggota bomba Mohd Firdaus Sulaiman.
Kematian Mohamad Azuraini dimaklumkan adiknya, Azizul, 36, ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Segamat di sini.
Menurutnya, Allahyarham sudah berkhidmat di kilang berkenaan sebagai penolong pengurus sejak puluhan tahun dan dia meninggalkan isteri, Normala Sudirman, 40, dan tiga anak berusia lapan hingga 12 tahun.
"Pemergian arwah merupakan satu kehilangan besar buat seluruh keluarga kami. Abang adalah anak ketiga daripada lima beradik.
"Kami bercadang untuk bercuti di Selangor dalam masa terdekat, namun takdir menentukan sebaliknya.
"Arwah abang seorang anak yang baik dan bertanggungjawab," katanya.
Azizul berkata, jenazah abangnya akan dibawa pulang ke kampung halaman di Felda Redong selepas selesai bedah siasat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Felda Redong Segamat.
Dalam kejadian 5.15 pagi Sabtu lalu, berlaku letupan di sebuah kilang memproses habuk kayu ketika pasukan penyelamat memadam kebakaran yang menyebabkan Mohamad Azuraini dan dua pegawai bomba termasuk Mohd Firdaus, 32, cedera.
Mohd Firdaus yang mengalami kecederaan dalaman meninggal dunia pada 4.15 pagi hari ini.
Disiarkan pada: Disember 13, 2021 @ 3:10pm