Edited by Vellfire at 16-12-2021 12:36 AM
![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20211215/mujdop.jpg)
KUCHING: Perikatan Nasional (PN) menerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kemungkinan meletakkan calon di Sarawak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi PN juga Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) mendedahkan ia adalah sejajar dengan persefahaman yang telah dibuat beliau bersama Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Dalam pertemuan saya bersama dengan Abang Jo (Abang Johari) di kediaman saya beberapa minggu lepas sebelum pilihan raya diadakan kita mempunyai persefahaman. Untuk negeri (pilihan raya negeri) kita menyokong GPS dan tidak meletakkan calon.
“Namun pada PRU kita berharap juga ada persefahaman iaitu calon dari PN menerusi BERSATU, bertanding dimana kerusi yang telah kita kuasai atau kita fikir sesuai untuk dimenangi,” katanya pada sidang media selepas selepas Dialog Awam yang diadakan bersama pihak berkepentingan yang dihadiri pengerusi BERSATU Sarawak Jaziri Alkaf Abdillah Suffian di sini, hari ini.
Muhyiddin berkata namun ia bukan bermakna BERSATU akan menentang calon GPS sebaliknya bekerjasama bagi memastikan kemenangan besar kepada GPS agar terus mentadbir negeri.
Beliau tidak menafikan penyokong-penyokong BERSATU di Sarawak turut merasa kecewa kerana mereka mahu ada ahli BERSATU yang turut bertanding pada PRN ini.
Namun ujarnya demi menghormati persefahaman yang ada, BERSATU tidak meletakkan calon dan menarik diri daripada bertanding.
“Misalnya Datuk Ali Biju, beliau menarik diri daripada bertanding di kerusi Krian atas nasihat saya dan kita menyokong calon GPS pada pilihan raya ini,” tegasnya.
Selain Ali, antara kerusi DUN yang didakwa turut mendapat permintaan agar dapat bertanding pada PRU12 adalah DUN Kemena.
Muhyiddin berkata, di DUN Kemena yang dianggarkan mempunyai 17,000 pengundi dan hampir 13,000 adalah pengundi parti BERSATU.
Katanya jika diberi peluang bertanding pada PRN di kerusi berkenaan, ia mungkin boleh membantu kemenangan kepada GPS.
“Namun seperti yang saya nyatakan tadi, disebabkan kita menghormati persefahaman yang ada, maka kita tidak meletakkan calon di kawasan terbabit,” katanya.
Beliau berkata apa yang penting membantu memastikan calon GPS menang dan Sarawak akan terus menjadi kuat.
utusanborneo.com.my/2021/12/15
|