![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20211215/kks-ub151221-san-kulinari-p1copy.jpg)
DEMO: Juliah (tengah) melakukan demo masakan ketika hadir merasmikan majlis itu.
TUARAN: Isteri Ketua Menteri Datin Seri Panglima Juliah Salag berpeluang melakukan demo masakan sempena pertandingan kulinari Dari Dapur Peladangnita Peringkat Negeri Sabah di perkarangan Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PKK) Tuaran di sini hari ini.
Pertandingan itu disertai sebanyak 18 kumpulan yang terdiri daripada 36 ahli Peladangnita dari seluruh Sabah.
Juliah yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) berharap program itu mampu meningkatkan kemahiran wanita di negeri ini khususnya dalam masakan tradisional.
Beliau juga mahu Peladangnita menyertai program itu dapat bertukar-tukar idea dan pandangan dalam usaha menjana serta meningkatkan semula pendapatan untuk membangun ekonomi keluarga dan negara.
“Saya berharap wakil dari Sabah akan dapat memperkenalkan menu masakan tradisional negeri ini ke seluruh negara menerusi pertandingan kulinari Dari Dapur Peladangnita Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Kuala Lumpur bermula 21 hingga 23 Disember ini," katanya.
Sementara itu, kumpulan Peladangnita dari PPK Tuaran berjaya memenangi pertandingan itu sekali gus mewakili negeri Sabah ke pertandingan peringkat Kebangsaan sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan di Kuala Lumpur.
Juliah yang merasmikan majlis itu merakamkan tahniah kepada Peladangnita PPK Tuaran dan berharap mereka dapat mengharumkan nama negeri Sabah sekali gus memperkenalkan menu tradisi rakyat negeri ini ke seluruh negara.
utusanborneo.com.my/2021/12/15
|