Seremban: Sebahagian laluan di Jalan Jimah-Sendayan berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Jimah Baru, di sini, runtuh awal pagi tadi.
Kejadian jam 5.50 pagi itu disedari agensi bantuan banjir di kawasan berkenaan sebelum menutup laluan daripada dilalui orang awam.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Syukri Madnor berkata, kejadian mungkin dipercayai berlaku lebih awal.
"Anggota APM dan bomba yang ke lokasi banjir di Kampung Jimah pada jam 5.50 pagi mendapati terdapat tanah runtuh akibat laluan air melimpah.
"Jalan berkenaan ditutup kepada pengguna. Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang memantau kawasan kejadian," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, pihaknya mendapat makluman kejadian berkenaan selepas satu video tular di laman sosial mengenai kejadian itu.
"Difahamkan, kejadian tanah runtuh berlaku ekoran daripada hujan lebat yang berlaku semalam. Hasil siasatan awal mendapati, jalan yang runtuh ialah jalan menghala daripada Jimah ke Sendayan.
"Jalan tanah runtuh ini di bawah pentadbiran Balai Lukut, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Port Dickson. Bagaimanapun, polis dari IPD Seremban sudah digerakkan bagi membantu dan memantau keadaan sementara menunggu anggota dari Balai Lukut hadir di lokasi," katanya.