![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20211218/twu-ub181221-hs-walkaboutp1.jpg)
LAWAT: Jonathan bersama tetamu yang lain membuat tinjauan di tempat jualan penjaja sayuran.
RANAU: Program 'Walkabout' sempena Jualan Keluarga Malaysia peringkat Parlimen Ranau dapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin berkata program tersebut adalah inisiatif kerajaan bagi meringankan beban pengguna berikutan kenaikan harga barangan di pasaran.
Menurutnya, sempena program ini berlangsung, beberapa barangan keperluan harian dijual dengan harga yang lebih rendah berbanding dengan harga pasaran semasa.
“Program yang dikendalikan oleh Kementerian Perdagangam Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) ini perlu mendapat sokongan daripada semua pihak.
“Ia antara aktiviti kerajaan bagi meringankan beban rakyat yang terpaksa menanggung kos kenaikan harga barang keperluan harian ketika ini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Ranau berkata demikian semasa menghadiri program tersebut di perkarangan Hap Seng Wholesale Mart Pekan di sini, hari ini.
Katanya, kerajaan akan terus berusaha dalam memastikan harga barangan keperluan harian tidak membebankan rakyat.
Jonathan turut memuji pihak Hap Seng Pekan Ranau kerana berganding bahu dengan KPDNKK menjayakan program itu.
“Dalam program itu, Hap Seng Wholesale Mart telah menurunkan harga lebih 30 jenis barangan terpilih dengan tawaran sehingga 50 peratus daripada harga biasa.
“Selain itu, penjaja sayuran segar dan keperluan harian lain turut menawarkan harga lebih murah dalam tempoh dua hari program itu diadakan bermula hari ini (Sabtu),” katanya.
Turut hadir, Pegawai Daerah Ranau, Syahrin Samsir dan Ketua Cawangan KPDNKK Tuaran Sabah, Saripuddin Moleng.
utusanborneo.com.my/2021/12/18
|