Port Dickson: Aktiviti di Pekan Linggi di sini, lumpuh sepenuhnya selepas ditenggelami banjir susulan hujan berterusan sejak 24 jam lalu.
Tinjauan wartawan mendapati, terdapat banyak kenderaan yang tidak sempat diselamatkan selain ada penduduk yang terkandas di rumah kedai di pekan berkenaan.
Penduduk, Kadir Ahmad Nor, 63, yang tinggal di Rumah Rakyat Pengkalan Durian di sini, berkata, kejadian banjir kali ini adalah paling buruk selepas kali pertama berlaku 50 tahun lalu.
"Banjir memang dah biasa berlaku di sini. Seingat saya berlaku banjir kilat tiga bulan lalu, tapi tidaklah seteruk ini seperti yang pernah berlaku pada tahun 1971.
"Kali ini air naik sangat cepat ditambah pula dengan keadaan air laut sedang pasang besar. Pekan Linggi ini memang lumpuh sepenuhnya," katanya.
Menurutnya, dia dan anak lelakinya membantu anggota bomba memindahkan penduduk yang terkandas dengan menggunakan kemudahan bot yang ada.
Bagi Mohd Shahril Nawawi, 39, pula berkata, rumahnya ditenggelami banjir sehingga hampir bumbung.
"Kali ini memang betul-betul teruk dan yang paling sedih apabila emak tidak dapat menjalani rawatan hemodialisis hari ini akibat banjir.
"Banyak perabot rumah rosak malah ubat-ubatan emak pun tak dapat diselamatkan. Dua kereta saya turut ditenggelami air," katanya.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Abdul Rahman Mohd Redza turut mengakui banjir kali ini paling terburuk pernah berlaku.
"Saya sudah meminta kerja mendalamkan sungai dilakukan dan perlu ada kawasan tebatan banjir bagi mengelakkan kejadian banjir besar berlaku seperti ini hingga merosakkan banyak harta benda," katanya.