GEORGETOWN: Seorang parah, manakala lima lagi cedera dalam kebakaran membabitkan tongkang di Lebuh Macallum dekat Pengkalan Weld di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.54 pagi.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai yang diketuai ketua operasi, Mohamad Yahaya Murad, ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat.
"Ketika tiba di lokasi, didapati kebakaran membabitkan sebuah tongkang dengan anggaran kemusnahan sebanyak 20 peratus.
"Terdapat enam mangsa lelaki yang mana satu daripadanya parah manakala lima lagi mengalami cedera ringan di bahagian tangan," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut jurucakap berkenaan berkata, mangsa yang terbabit diberi rawatan awal kecemasan sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tindakan lanjut.
Katanya bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak pada jam 11.08 pagi
"Setakat ini kerja pemadaman masih dilakukan dengan dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran," katanya lagi.