
SELENGGARA: Laluan utama kampung Tohan kini boleh dilalui setelah diselenggara.
TAMBUNAN: Hujan yang berterusan sejak kebelakangan ini telah menyebabkan laluan utama Kampung Tohan tidak dapat dilalui ekoran runtuhan tanah ke atas permukaan jalan kampung berkenaan.
Hakisan tersebut telah mengakibatkan tanah terhakis dan membawa beberapa tumbuhan serta rumpun bambu sehingga menutupi permukaan jalan kampung menyebabkan ia tidak dapat dilalui oleh kenderaan penduduk.
Ekoran itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan telah membuat tindakan pantas bagi mengalihkan runtuhan tanah dengan menyelenggara segera bagi memastikan laluan itu dapat digunakan semula oleh penduduk untuk urusan dan aktiviti seharian.
Difahamkan jalan utama kampung Tohan kini boleh dilalui oleh penduduk setempat hasil tindakan Jeffrey menangani situasi berkenaan.
Salah seorang penduduk, Saldivilla Wences berkata, permasalahan itu telah diselesaikan segera oleh Jeffrey setelah memaklumkan perkara itu kepada wakil rakyat.
"Bagi pihak penduduk, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih di atas usaha pantas Jeffrey yang begitu responsif dan prihatin dengan permasalahan serta kesulitan yang dihadapi oleh penduduk, ” katanya ketika dihubungi.
utusanborneo.com.my/2022/01/05 |