|
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/hilang12aaa_1642057663.jpg)
Mangsa ditemui kira-kira dua kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang. FOTO IHSAN POLIS
GUA MUSANG: Remaja yang hilang selepas membuang air kecil di kawasan semak dekat Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, Isnin lalu, mendakwa dirinya tertidur sekitar sejam sedangkan kehilangannya melangkaui 30 jam.
Bapa saudara mangsa, Azizul Rahman Hamzah, 46, berkata, dia dimaklumkan anak saudaranya yang berusia 13 tahun itu mulai tidak sedar sebaik berada kawasan semak.
Katanya, anak saudaranya memaklumkan hanya melihat keadaan di sekeliling sangat gelap, namun dapat merasai kedua-dua kakinya sedang berjalan menuruni cerun.
"Apabila sedar pada keesokan harinya, dia menyedari berada di dalam semak dan membuka telefon bimbit untuk melihat WhatsApp dalam keadaan mengantuk, sebelum tertidur semula kerana kepenatan.
"Namun ketika tersedar kali kedua, dia menyedari sudah jauh berada di dalam semak dan berasa kebingungan bagaimana boleh berjalan sejauh itu.
"Dia kemudian terus bangun berjalan menuju pulang ke rumahnya dalam keadaan kebingungan," katanya, hari ini.
Media semalam melaporkan, remaja lelaki itu ditemui jam 5.30 petang oleh penduduk kampung dalam keadaan bingung dan keletihan pada jarak dua kilometer dari lokasi kejadian dilaporkan hilang.
Azizul Rahman bersyukur anak saudaranya ditemui dalam keadaan selamat selepas hampir dua hari dilaporkan hilang.
"Alhamdulillah ketika anak saudara sedang berjalan balik ke rumah, ada penduduk kampung kebetulan melalui kawasan berkenaan dan membawanya pulang ke rumah," katanya.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|