
Dennis gesa sekolah usang di Baram dinaik taraf segera
MIRI: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa mempercepat naik taraf kemudahan dan sekolah usang di kawasan Baram.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau (gambar) berkata, selain Sekolah Kebangsaan (SK) Long Bemang, tiga lagi sekolah perlu diberi perhatian segera iaitu SK Long Luyang, SK Long Sobeng dan SK Long Luteng.
“Saya sudah menghantar senarai keempat-empat sekolah ini untuk diberi perhatian dibawah projek pembangunan atau penyelenggaraan bangunan daif sekolah KPM.
“Semua sekolah ini terletak di Telang Usan. Setakat ini hanya dua diluluskan iaitu SK Long Bemang and SK Long Luyang. Saya berharap dua lagi sekolah turut diluluskan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dennis menambah, penduduk di Long Bemang sudah menyediakan tapak di tanah bagi pembinaan sekolah yang baharu.
Katanya, lokasi ini berada di kawasan tanah yang lebih tinggi menggantikan sekolah sekarang yang kerap dinaiki air setiap kali musim hujan.
Dennis mengulas kenyataan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Radzi Jidin, kementerian dalam proses tender bagi pembinaan bangunan dan menaik taraf fasiliti SK Long Bemang selewat-lewatnya bulan Februari ini.
Dr Radzi memuat naik kenyataan itu menerusi Facebook malam Sabtu susulan kejadian seorang murid SK Long Bemang yang terjatuh dari beranda SK Long Bemang, Jumaat lalu.
Beliau menambah, KPM akan memastikan pelaksanaan projek penggantian ini berjalan lancar dan proses pelantikan kontraktor selepas tender dibuka kelak dimuktamadkan secepat mungkin.
Katanya, ini bagi membolehkan fasiliti yang lebih kondusif dan selamat untuk warga sekolah dapat disediakan.
utusanborneo.com.my/2022/01/23 |