
ASAJAYA: Jentera parti di peringkat akar umbi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya perlu memberi perhatian dan menyusun strategi kepada golongan pengundi muda sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini penting memandangkan pendaftaran secara automatik bagi Undi-18 telah bermula pada bulan ini.
Beliau menegaskan, kehadiran pengundi muda yang akan keluar mengundi pada PRU-15 nanti akan memberikan perubahan yang besar kepada situasi semasa politik negara ketika ini.
“Kemenangan bergaya pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12) yang lalu tidak akan kekal begitu sahaja kecuali soal Undi-18 itu diurus dengan betul,” katanya semasa Majlis Kesyukuran Dan Apresiasi Kemenangan PRN-12 N.15 Asajaya di Kompleks Sukan Asajaya pada Sabtu.
Turut hadir, Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak, Buang Bolhassan, Pegawai Daerah Asajaya, Rais Ahmat serta Temenggung Bahagian Samarahan, Chek Bujang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu menambah, DUN Asajaya sahaja akan menyaksikan pertambahan seramai 5,700 pengundi.
“Setakat ini jumlah pengundi berdaftar di DUN Asajaya adalah seramai 12,349 pengundi.
“Maka usaha perlu disusun dari sekarang supaya mereka yang berusia 18 tahun ke atas itu dapat melihat perjuangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekaligus menarik minat dan sokongan mereka,” katanya.
sarawakvoice.com/2022/01/24 |