
KUCHING: Seorang wanita berusia 22 tahun dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret, hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki 0.27 gram Methamphetamine.
Mahkamah juga memerintahkan hukuman penjara bagi tertuduh Nursyafiqah Rosli, untuk dikuatkuasakan dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 17 November 2021.
Selain Nursyafiqah, turut dijatuhi hukuman penjara lapan bulan di mahkamah sama akibat kesalahan tersebut adalah rakannya, Mior Ahmad Fairuz Abu Kassim, 37.
Manakala seorang lagi rakan mereka, Razlan Abdullah, 36, yang juga disabitkan di bawah kesalahan sama, dijatuhi hukuman denda RM3,300 atau penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa secara bersama memiliki 0.27 gram dadah jenis Methamphetamine pada 17 November 2021, jam lebih kurang 10 pagi di rumah Mior yang terletak di RPR Jalan Astana, di sini.
Berdasarkan keterangan kes, ketika serbuan dibuat oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching, mereka menemui sebuah kotak rokok yang didalamnya mengandungi satu paket plastik berwarna kemerahan berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan berat kasar 0.44 gram.
Laporan kimia seterusnya mengesahkan barang tersebut mengandungi dadah berjadual.
Sehubungan itu, tiga sekawan tersebut didakwa dan disabitkan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) Akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.
utusanborneo.com.my/2022/01/24 |