
PERMATA SARAWAK…Mohd. Zharmien Asyraf Ismail.
KUCHING: Penyerang muda Sarawak United FC (SU FC), Mohd. Zharmien Asyraf Ismail, 20 sedia bersaing untuk merebut tempat utama dalam skuad kebangsaan bawah 23 tahun.
Bintang kelahiran Kampung Iboi Ulu, Sadong Jaya itu dipanggil untuk menyertai kem latihan bersama skuad kendalian Brad Maloney sebagai persiapan menghadapi Kejuaraan B-23 Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) di Kemboja bulan depan.
“Saya harus memanfaat peluang ini dengan sebaik mungkin. Apa yang pasti, saya akan cuba memberikan yang terbaik,” ujar Zharmien kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau juga berharap impian untuk menyarung jersi skuad kebangsaan akan menjadi kenyataan selepas ini.
Mesin gol bagi skuad pelapis (SU FC II) musim lalu semasa Liga SSC-FAS 2021 percaya beliau mampu mencapai misi tersebut.
“Bukan mudah untuk memiliki peluang ini. Justeru, inilah masa untuk saya membuktikan segalanya,” tambah Zharmien lagi.
Untuk rekod Zharmien pernah menyarung jersi skuad Piala Belia Kedah (2019) sebelum kembali ke Sarawak untuk bersama skuad Piala Presiden SU FC II (2020-2021).
Musim ini, penyerang yang mempunyai karakter penyudah berkesan itu diserap ke dalam skuad SU FC yang akan bersaing dalam kancah Liga Super.
by Suaraswk
January 29, 2022 |