Edited by Vellfire at 30-1-2022 08:46 AM

Suspek (kanan) ketika ditahan polis dalam serbuan pada Sabtu. - Gambar ihsan polis
MUKAH: Seorang lelaki penganggur berumur 35 tahun yang mengakui baharu sahaja terlibat dengan penagihan dadah sejak awal Januari ini, dicekup pada Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias, tangkapan dilakukan dalam satu serbuan di sebuah rumah terletak di Desa Merpati, Mukah sekitar 12.30 tengah hari.
"Setelah diperiksa, terdapat satu keratan penyedut minuman kecil berisi ketulan kristal disyaki mengandungi dadah jenis Methampethamine di dalam genggaman tangan kanan suspek," katanya kepada Utusan Borneo.
Dadah dengan anggaran berat kasar 0.22 gram itu dianggarkan bernilai RM50.
Suspek dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah untuk siasatan lanjut.
Hasil siasatan awal katanya, suspek telah menagih sejak awal Januari tahun ini dan mendapatkan bekalan dadah melalui serahan tangan di sekitar pasar Mukah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
utusanborneo.com.my/2022/01/30 |