
KOTA KINABALU: Sebuah gerai di Taman Awam Teluk Likas, di sini diarah tutup serta merta selama seminggu bagi kerja pembersihan.
Terdahulu, orang ramai mempertikaikan tahap kebersihan gerai berkenaan sehingga isu itu tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu Junainah Abbie berkata, pihaknya sedia maklum mengenai isu berkenaan setelah tular di media sosial.
Katanya, gerai berkenaan sudah diarahkan tutup selama seminggu dan kerja-kerja pembersihan termasuk menyemak semua peralatan dapur sedang giat dilakukan oleh peniaga berkenaan.
“Setiap penyewa bertanggungjawab memastikan kebersihan di kawasan gerai mereka agar sentiasa terjaga dan bersih.
“Kita tidak mahu kejadian seumpama itu berulang pada masa akan datang sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pelanggan,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.
utusanborneo.com.my/2022/01/30 |