
CENDERA KENANGAN: Jonathan (tengah) menerima cendera kenangan daripada Mairy.
RANAU: Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) digesa untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan terutamanya dalam bidang penugasan mereka.
Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin berkata setiap anggota RELA perlu mempunyai ilmu pengetahuan dan sentiasa bersiap siaga menggalas tanggungjawab.
Katanya, anggota RELA harus punyai sikap tanggungjawab dan integriti semasa menjalankan tugas serta sentiasa bersikap positif.
“Saya menasihatkan anggota RELA mempraktikan semua pengetahuan dan kemahiran yang sudah diberikan apabila mendepani tugas yang mencabar termasuklah di hutan, sungai atau di mana sahaja.
“Justeru, setiap anggota RELA perlu peka dengan ilmu pengetahuan baharu serta mengikut arus perdana dan keperluan masa kini,” katanya ketika merasmikan kursus kepimpinan RELA daerah Ranau Siri 1/2022, di sini semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Ranau berkata, anggota RELA wajib mengikuti kursus, seminar atau latihan kemahiran yang telah disediakan.
Sementar itu, beliau turut memuji jawatankuasa penganjur kerana berjaya mengelola kursus tersebut dengan lancar dan teratur mengikut jadual yang ditetapkan.
“Saya percaya kursus ini banyak memberikan pengalaman baharu kepada anggota RELA di sini dan sangat berguna ketika melaksanakan penugasan yang diberikan.
“Setiap anggota RELA akan menjalani banyak kursus supaya mereka mempunyai pengetahuan dan kemahiran baharu mengikut peredaran masa,” katanya.
Turut hadir, Pegawai Operasi Rela Sabah, Awang Damit Pg.Yusuf dan Pegawai Rela daerah Ranau, Mairy Yubin.
utusanborneo.com.my/2022/01/30 |