
Kain rentang yang diturunkan oleh seorang insan prihatin yang lalu di kawasan berkenaan, hari ini.
BINTULU: Atas keprihatinan terhadap perasaan serta sensitiviti warga Bintulu, seorang lelaki bertindak menurunkan sebuah kain rentang yang digantung pada jejantas Medan Jaya yang bertulis 'Welcome To Bandar Org (orang) Gila.'
Insan prihatin, Mohd Akbar Sawkat Ali, 35, yang dihubungi Utusan Borneo hari ini berkata, beliau terlihat kain rentang berwarna putih itu semasa sedang memandu dari arah Bintulu menuju ke kediamannya di Sungai Plan sekitar jam 8 pagi tadi.
"Saya yang kurang senang dengan perkataan yang ditulis dalamnya segera memberhentikan kereta yang dipandu di tepi jalan lalu naik ke atas jejantas terbabit dan bertindak menurunkannya dari pandangan umum," ujarnya.
Beliau tidak menyangka sama sekali bahawa kain rentang yang digantung individu tidak bertanggungjawab itu sudah tular dalam laman sosial Facebook.
Kata-kata yang tertulis dalam kain rentang itu jelasnya amat melampau kerana ianya melabel penduduk di Bintulu gila.
"Perbuatan sedemikian agak keterlaluan serta tidak masuk akal kerana orang gila terdapat di mana-mana sahaja dan bukan hanya di Bintulu sahaja," tambahnya.
Turut difahamkan, terdapat isu gelandangan dan orang gila yang ditularkan nitizens dalam Facebook yang berlaku di bahagian ini yang dilihat menganggu ketenteraman awam.
utusanborneo.com.my/2022/01/30 |