MRSM Tun Mustapha catat kluster pendidikan ke-13 di Sabah
KOTA KINABALU: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Mustapha di Tawau menjadi kluster pendidikan COVID-19 ke-13 di Sabah.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun berkata kes indeks bagi Kluster Jalan Apas Batu Lima ini adalah seorang pelajar perempuan tingkatan lima yang dikesan positif melalui Saringan Bergejala pada 26 Januari lalu.
“Hasil saringan kontak rapat dalam kalangan rakan sebilik, rakan sekelas dan rakan karib merekodkan 11 orang positif dan pesakit sudah diasingkan dan diberi rawatan yang sesuai.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, pelajar lain yang menjadi kontak rapat juga diarah untuk diasingkan walaupun setakat ini saringan tidak menunjukkan mereka dijangkiti,” katanya.
Masidi berkata Sabah kini mencatatkan 19 kluster aktif di seluruh negeri dengan 13 daripadanya adalah kluster institusi pendidikan.
Dalam pada itu Masidi berkata jumlah kes harian melonjak naik mencecah 490 kes dengan peningkatan sebanyak 123 kes berbanding hari sebelumnya.
“Sandakan mencatatkan kes yang tertinggi sebanyak 141 kes yang dipengaruhi oleh jumlah kes bergejala yang tinggi iaitu 93 kes dan menandakan jangkitan ini sudah menjangkiti dalam komuniti.
“Jumlah kes baharu melalui saringan simptomatik atau bergejala adalah antara yang tertinggi pernah direkodkan iaitu 251 kes atau 51.22 peratus daripada jumlah keseluruhan jangkitan baharu Sabah,” katanya.
Menurutnya beberapa daerah lain yang mencatatkan jangkitan baharu yang tinggi ialah Kota Kinabalu dengan 61 kes, Penampang 54 kes dan Tuaran 50 kes.
Katanya 11 daerah merekodkan kes pada dua angka 11 lagi mencatatkan kes satu angka dan empat daerah tidak mencatatkan sebarang kes baharu.
utusanborneo.com.my/2022/02/02
|