
KUCHING: Padah mencuri beberapa keping tembaga milik sebuah syarikat pembekal logam di Sejingkat, seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman terhadap Dedi Priyana, 34, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula hari ini, dan akan dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut selepas selesai menjalani hukuman.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang berasal dari Banjar, Indonesia didakwa telah mencuri beberapa keping tembaga milik sebuah kilang pembekal logam di Sejingkat, Jalan Bako, sekitar jam 12.30 malam, 24 Febuari lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda, jika disabit bersalah.
Menurut fakta kes, pengadu yang merupakan pengurus kilang dan juga majikan kepada tertuduh telah membuat pemeriksaan pada 25 Januari lalu, di kawasan kilang mendapati beberapa keping tembaga diletakkan di kawasan tersebut hilang.
Pengadu kemudian membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stor simpanan besi kilang yang bertarikh 24 Januari mendapati tertuduh telah mengambil beberapa keping tembaga di dalam salah satu beg simpanan.
Anggaran kerugian yang dialami syarikat ialah RM1,908.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
by Suaraswk
February 3, 2022 |