
Uggah pada sidang media selepas pelancaran PICKids peringkat negeri dan turut kelihatan Dr Sim (kiri). - Gambar oleh Roystein Emmor.
KUCHING: Kes harian COVID-19 yang stabil adalah disebabkan disiplin rakyat Sarawak yang terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengekang penularan wabak virus terbabit.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sebelum ini dijangkakan kes harian COVID-19 meningkat susulan daripada pilihan raya negeri (PRN) yang diadakan pada hujung tahun lepas.
“Namun angka kes harian kita agak stabil dengan 20 kes hari ini. Kita bimbang selepas PRN-12 kes akan mendadak namun ia sebaliknya.
“Ini menggambarkan rakyat Sarawak yang berdisiplin dengan sepenuhnya terhadap SOP semasa pilihan raya diadakan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) peringkat Negeri di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, hari ini.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) bagaimanapun terus merayu kepada rakyat agar terus berdisiplin supaya kes tidak meningkat dengan mendadak.
Katanya faktor kedua kes harian Sarawak terus stabil adalah disebabkan program vaksinasi dos penggalak kepada rakyat negeri ini yang tinggi.
“Bagi perkembangan terkini, setakat 2 Februari 2022 Sarawak telah mencapai liputan dua dos iaitu kepada lebih 1.87 juta orang atau 91.8 peratus, bagi populasi dewasa iaitu berusia 18 tahun ke atas.
“Manakala seramai 259,432 orang (88.4 peratus) bagi remaja umur 12 hingga 17 tahun dan secara keseluruhan seramai lebih 2.13 juta orang (75.8 peratus) rakyat Sarawak telah menerima dua dos vaksinasi,” katanya.
Uggah memberitahu bagi liputan dos penggalak bagi yang layak sehingga kini telah mencapai 83.3 peratus.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Awam, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian pada sidang media yang sama berkata, kejayaan Sarawak menstabilkan kes harian adalah hasil daripada perpaduan dalam kalangan rakyatnya.
Jelasnya hal ini dapat dilihat menerusi program imunisasi COVID-19 untuk dewasa, remaja selain dos penggalak yang menerima sambutan daripada rakyatnya.
"Sekarang adalah sasaran kita untuk memberi vaksinasi kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun," katanya.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan 70 peratus kanak-kanak yang layak dan dalam sistem pendidikan dapat diberikan dos pertama vaksin Pfizer dalam tempoh dua bulan dari sekarang.
Manakala 80 peratus daripada mereka yang diberi dos pertama lengkap vaksinasi dalam tempoh 6 bulan pelaksanaan.
Hadir sama Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Dr Rosemawati Ariffin dan Pengarah HUS Dr Ngian Hie Ung.
utusanborneo.com.my/2022/02/03 |