
Henry semasa sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak cadangan Sekolah Kebangsaan Segong hari ini.
KUCHING: Masalah penjaja yang menghadapi kesulitan ekoran kekurangan tempat berniaga di kawasan Tasik Biru bakal diselesaikan dalam masa terdekat.
Menteri Muda Pengangkutan Datuk Henry Harry Jinep berkata, hal ini kerana beliau mendapat maklum balas dan laporan mengenai masalah tersebut khasnya daripada penjaja.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru itu, beliau sebelum ini telah membina satu kawasan bersifat sementara untuk 80 peniaga di kawasan Tasik Biru.
"Namun kini jumlah peniaga itu semakin bertambah sehingga 200 peniaga dalam tempoh lima tahun sekali gus kawasan untuk berniaga itu tidak mencukupi.
"Sekarang ini ramai penjaja di kawasan itu hendak berniaga dan oleh itu kita juga sudah kenal pasti tapak yang sesuai untuk membina tapak penjaja di kawasan Tasik Biru," katanya semasa sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak cadangan Sekolah Kebangsaan Segong hari ini.
Henry berkata, Tasik Biru kini antara kawasan tarikan pelancong kerana pelancong yang datang semakin bertambah.
"Oleh sebab itu, peniaga juga bertambah dan ini merupakan ekonomi setempat yang kita boleh lihat perubahan ketara berlaku apabila kita memajukan Tasik Biru.
"Sehubungan itu, kita telah berbincang dengan Majlis Daerah Bau (MDB) untuk sediakan tempat sementara untuk penjaja dan penjaja perlu mendaftar diri mereka kepada MDB. "Bagi penjaja kecil, kita akan sediakan kawasan untuk mereka berniaga sebagai sokongan kepada mereka yang menceburi aktiviti perniagaan.
"Kita perlu sokong usaha dan minat mereka dalam urusan berniaga walaupun aktiviti perniagaan itu dilaksanakan secara kecil kecilan seperti yang dimahukan oleh Kerajaan Sarawak," tegasnya.
Sementara itu, kawasan Tasik Biru juga akan disediakan fasiliti lain seperti lampu jalan yang akan memudahkan perjalanan pengguna.
utusanborneo.com.my/2022/02/03 |