KUCHING: Seorang pemuda tempatan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan memiliki dadah jenis ganja seberat 135 gram pada 29 Januari lepas.
Iqmal Zachry, 29, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Jason Juga.
Berdasarkan pertuduhan, dia didapati memiliki ganja seberat 135 gram semasa berada di Jalan Bintawa Tengah, di sini, sekitar jam 2.40 petang, 29 Januari lepas.
Pendakwaan kes mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39 (2) Akta yang sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada lima sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang diwakili seorang Peguam Osman Ibrahim.
Mahkamah memerintahkan tertuduh direman lanjut sehingga sebutan semula bagi pengurusan kes pada 17 Mac depan.
Sementara itu, tertuduh juga berdepan dua pertuduhan di Mahkamah Majistret bagi kesalahan menggunakan kekerasan dan enggan memberi kerjasama semasa pemeriksaan polis dalam satu sekatan jalan raya, di Jalan Bintawa Tengah, 29 Januari lepas.
Tertuduh juga mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan kedua pula, dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, kerana sengaja menghalang tugas penjawat awam dengan enggan memberi kerjasama semasa pemeriksaan sehingga ditangkap pihak polis.
Kesalahan tersebut memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan dua penjamin tempatan serta menetapkan sebutan semula bagi pengurusan kes pada 14 Mac depan.
Pendakwaan kes terbabit dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin.
by suaraswk
February 4, 2022
|