Charlie mempunyai badan berwarna hijau seperti serangga betina dan sayap serangga jantan berwarna coklat. – Facebook Lauren Garfield
LONDON – Seekor serangga batang belaan mengejutkan pemiliknya apabila ia didapati mempunyai dua jantina, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Serangga kayu berwarna hijau dinamakan Charlie itu merupakan sejenis gynandromorph pertama yang dilaporkan memiliki ‘kecacatan’ sedemikian, demikian menurut Muzium Sejarah Alam Semula Jadi.
Haiwan baru bersalin kulit mendedahkan ia mempunyai badan berwarna hijau seperti serangga betina dan sayap serangga jantan berwarna coklat.
Menurut pemiliknya, Lauren Garfield, Charlie pada asalnya kelihatan sama seperti serangga batang lain yang dibiakkan di rumahnya di Waldringfield.
“Saya membiakkan banyak serangga dalam beberapa tahun dan tanpa disedari turut membiakkan seekor serangga batang hijau gynandromorphic.
“Ia bermaksud sebahagian badan haiwan itu adalah betina (bahagian berwarna hijau) dan sebahagian lagi adalah jantan (bahagian berwarna coklat beserta sayap),” kata Garfield pada hantaran di Facebook.
Wanita itu kemudian bersetuju untuk menyerahkan Charlie kepada pihak Muzium Sejarah Alam Semula Jadi di London untuk tujuan kajian saintifik.
Sementara itu, seorang pakar serangga tersebut, Paul Brock berkata, Charlie mempunyai badan serangga jantan berwarna coklat pada bahagian kanan beserta sayap belakang yang penuh.
“Dalam spesies gynandromorph, termasuk Charlie, alat kelamin tidak terbentuk dengan sempurna. Justeru, walaupun ia kelihatan seperti jantan, ia tidak akan dapat mengawan dengan betul dengan haiwan betina,” katanya. – AGENSI
kosmo.com.my/2022/02/18 |