
PADAMKAN: Anggota bomba sedang berusaha memadam kebakaran sebuah rumah di Kampung Sourabaya Hulu, hari ini.
KUCHING: Sebuah rumah di Kampung Sourabaya Hulu, Petra Jaya dilaporkan musnah dalam kebakaran hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, kebakaran dilaporkan berlaku pada jam 1.19 tengah hari.
Menurutnya, beberapa anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya yang dibantu anggota dari BBP Padungan bergegas ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.
“Komander operasi melaporkan kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal telah terbakar 80 peratus.
“Rumah tersebut didiami lima penghuni, masing-masing dua lelaki dan tiga wanita dewasa,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 3 petang.
“Kebakaran tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kecederaan,” katanya.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan Unit Forensik Kebakaran JBPM Sarawak.
utusanborneo.com.my/2022/02/22 |