KUCHING: Sarawak tidak berniat mahukan lebih kuasa apabila menukar terma 'Ketua Menteri' kepada 'Premier,' sebaliknya ingin menunjukkan status negeri ini sebagai rakan sekutu sama rata dalam penubuhan Malaysia.
Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (gambar) berkata, penukaran terma itu tidak menyalahi undang-undang kerana ia dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan selaras pindaan Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan pada 2021.

"Kita merupakan satu wilayah yang menubuhkan negara Malaysia, untuk menggambarkan itu, kita terpaksa mengubah nama Ketua Menteri Sarawak kepada Premier, itu sahaja dan tidak berniat lain untuk membuat lebih-lebih.
"Cuma menukar berdasarkan status kita dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan oleh itu, perlembagaan kita perlu diubah untuk menunjukkan kita adalah sebuah wilayah yang bersatu bersama menubuhkan negara Malaysia.
"Taraf kita tidak sama seperti negeri Kelantan, Terengganu, Melaka atau Pulau Pinang, kita sama status dengan Malaya, ini yang kita cuba sampaikan," katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Seminar Keluarga Rabbani ‘Sinergi Mendepani Cabaran Masa Kini’ hari ini.
Sharifah Hasidah menegaskan terdapat banyak salah faham dan sangkaan buruk yang dilihatnya di media sosial yang dilemparkan para pengguna laman berkenaan mengenainya.
"Komen di Facebook yang mengatakan kita mahu kuasa lebih, tidak benar sama sekali kerana kita cuma mahu menunjukkan status sebagai rakan sekutu yang dibolehkan dalam perlembagaan dan tidak menyalahi undang-undang serta perlembagaan.
"Kedudukan Perdana Menteri adalah yang paling tinggi dalam hierarki kepimpinan negara diikuti Premier dan seterusnya Ketua Menteri untuk negeri-negeri," katanya.
utusanborneo.com.my/2022/02/23 |