Edited by Vellfire at 23-2-2022 02:58 PM

MIRI: Seorang wanita yang bertindak menghina, mencederakan dan menghalang dua anggota polis dari menjalankan tugas rasmi setelah mendakwa terganggu oleh bunyi laungan azan dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh tangkapan pada 24 Ogos tahun lalu.
Priscilla Audrey Elbert Georocin, 25, dari Taman Tunku di sini, telah didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM500 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Menurut keterangan kes, tertuduh didapati telah berkelakuan tidak senonoh dengan cara berteriak dan menghina semua pegawai polis.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12.05 tengah hari, 24 Ogos 2021 di pejabat pegawai penyiasat kanan Balai Polis Pusat Miri.
Selain itu, tertuduh turut menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada dua anggota polis wanita dengan cara mencakar dada, leher dan muka Koperal Johrianiee Johan dan juga menendang perut Konstabel Izzah Amirah A.Azamain.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada masa dan di tempat yang sama.
Bagi kesalahan itu, Priscilla telah didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Manakala dalam tuduhan ketiga, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana kesalahan telah menghalang dua anggota polis iaitu Koperal Johrianiee Johan dan Konstabel Izzah A.Azamain daripada menjalankan tugas rasmi dengan cara tidak memberi kerjasama serta menyerang dua anggota polis terbabit.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu juga pada masa dan di tempat yang sama.
Hasil siasatan lanjut polis mendedahkan sekitar jam 12.05 tengah hari, 24 Ogos 2021, tertuduh telah datang ke Balai Polis Pusat Miri membuat kecoh sambil memberitahu bahawa dia terganggu oleh bunyi azan yang sering dilaungkan dari masjid berhampiran rumahnya di Taman Tunku.
Melihat keadaan itu, beberapa anggota polis dan seorang pegawai bertugas cuba menenangkan tertuduh namun bertuduh telah berteriak dan menghina semua mereka sebelum bertindak agresif dengan mencederakan dua anggota polis wanita.
Sekitar jam 2.45 petang hari sama, semasa dibawa ke lokap Balai Polis Trafik Miri, tertuduh turut bertindak agresif dengan menyerang Ketua Balai Polis Pusat Miri ASP Muhammad Yarshar Abdullah hingga mengalami luka di pergelangan tangan kanan.
Terdahulu, tertuduh telah dihantar ke Hospital Sentosa Kuching untuk menjalani pengawasan mental dan hasil pengawasan mengesahkan tertuduh layak menghadapi tuduhan.
Bagi kesalahan pertama tertuduh dijatuhi hukuman penjara tiga bulan, kesalahan kedua penjara lima bulan dan bagi kesalahan ketiga tertuduh dihukum penjara enam bulan.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan ketiga-tiga hukuman itu berjalan serentak.
Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
utusanborneo.com.my/2022/02/23 |