
KUCHING: Seramai 12,000 peserta dari seluruh bahagian di Sarawak bakal menyertai Program Sarawak X-Tive 2022 yang bakal berlangsung pada 5 Mac depan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata program itu akan dilancarkan secara serentak di setiap bahagian.
“Bagi setiap bahagian, kita menjangkakan tidak kurang daripada 1,000 penyertaan daripada pelbagai golongan lapisan masyarakat.
“Aktiviti di setiap bahagian akan bermula sebelum perasmian program iaitu pada 5 Mac ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mesyuarat Majlis Pelancaran Sarawak X-Tive 2022 di Hotel Grand Magherita, hari ini.
Jelasnya, program yang pertama kali diadakan oleh kementeriannya itu adalah aktiviti sukan dan riadah yang menyasarkan golongan belia di Sarawak.
Karim berkata program itu akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Gedong.
Turut hadir Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Gerald Rentap Jabu dan pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Nancy Jolhi.
sarawakvoice.com/2022/02/23 |