
Ismail Sabri ketika berucap pada majlis perasmian Program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Tebingan Kuching. -Gambar oleh Chimon Upon
KUCHING: Penganjuran Festival Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di sini mampu mempromosikan produk kesenian dan warisan di Sarawak yang sememangnya cukup kaya dengan biodiversiti.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada hidangan makanan tempatan seperti mi kolok, laksa Sarawak, kek lapis Sarawak, persembahan seni tari pelbagai etnik sehinggalah kepada jualan kraf tangan, semuanya mempunyai keunikannya tersendiri.
“Oleh itu, tidak hairanlah sambutan festival mega ini cukup signifikan dari segi 'tagline' Malaysia-Truly Asia,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 bertemakan 'Temasya Kepelbagaian Budaya' di Tebingan Kuching di sini, malam Sabtu.
Majlis itu dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib.
Hadir sama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Seni Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta tetamu kehormat lain.
Tun Taib bersama Ismail Sabri, Abang Johari memukul gendang sebagai simbolik perasmian Program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Tebingan Kuching. -Gambar oleh Chimon Upon
Menurut Ismail Sabri, pemilihan Kuching sebagai lokasi sambutan Citrawarna juga amat bersesuaian memandangkan Bandar Raya Kuching telah mendapat pelbagai pengiktirafan penting di peringkat antarabangsa.
“Antaranya sebagai Bandar Raya Kreatif oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah kategori gastronomi dan ASEAN pada November 2021 dan Bandar Raya Kraf Dunia oleh Majlis Kraf Dunia Asia Pasifik pada 2018.
“Bahkan, kejayaan menjadi 'Creative City of Gastronomy' ini, Kuching dilihat mampu merancakkan ekonomi dan industri pelancongan dan kebudayaan khususnya di Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, bagi merancakkan kembali sektor ekonomi termasuk industri pelancongan yang sebelum ini terjejas akibat pandemik COVID-19, kerajaan giat melakukan pelbagai inisiatif bagi membantu sektor-sektor terlibat.
Katanya, antara usaha yang sedang dilakukan termasuk membenarkan pergerakan rentas sempadan melalui skim Vaccinated Travel Lane (VTL) udara, darat dan laut.
“Selain Singapura, dan Indonesia, Brunei secara dasar juga telah bersetuju dengan cadangan pelaksanaan VTL ini hasil perbincangan dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah semasa kunjungan saya ke Brunei, baru-baru ini.
“Langkah ini bukan sahaja mampu memulihkan industri pelancongan Sarawak tetapi merancakkan kembali ekonomi khususnya di bahagian Miri, Limbang dan Lawas yang terletak bersempadan dengan Brunei,” katanya.
Terdahulu, Citrawarna Keluarga Malaysia yang diadakan selama empat hari mulai 24 Februari berlangsung meriah dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Program Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama kerajaan Sarawak itu bertujuan mendekatkan masyarakat umum khususnya yang berada di Sarawak dengan kegiatan seni budaya dan pelancongan Malaysia.
Antara aktiviti yang diadakan ialah Festival Gendang Sarawak, Festival Kraf Sarawak, Peragaan Busana Kraf Tekstil Malaysia, Pameran Gastronomi, Treasure Hunt, Konsert Sape dan Persembahan Bunga Api dan Muzikal Water Fountain.
utusanborneo.com.my/2022/02/27 |