Sembilan keluarga terjejas dalam kebakaran di Bintulu

BINTULU: Sembilan keluarga terjejas dalam kebakaran melibatkan dua buah rumah di Lorong 3, Kampung Baru Tengah, awal petang tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Bintulu Wan Kamaruddin Wan Ahmad berkata kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 1.12 petang dan 16 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, setiba di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan dua kediaman jenis separuh kekal musnah 100 peratus.
Katanya, anggota bomba menggunakan masing-masing empat aliran dan nozel pam dari jentera dan pili bomba untuk memadam kebakaran.
Kesemua ahli keluarga yang mendiami rumah terbabit berjaya menyelamatkan diri.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bintulu Datuk Sri Tiong King Sing yang dimaklumkan mengenai insiden malang itu, segera turun padang bagi meninjau keadaan.
Bahkan, beliau menerusi Pegawai Khasnya, Steven Kong Kai Seng turut menyerahkan bantuan kilat berbentuk wang tunai sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga yang terjejas.
sarawakvoice.com/2022/02/27 |