Edited by Vellfire at 1-3-2022 03:13 PM

TIDAK SEDAR: Dua suspek yang menyamun warga emas di sebuah kedai Pujut 1 tidak menyedari perbuatan jenayah mereka dirakam di CCTV pagi Isnin.
MIRI: Dua lelaki merompak seorang warga emas di sebuah kedai Pujut 1 pada Isnin berjaya ditangkap pada hari yang sama.
Tangkapan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri dalam tempoh kurang 24 jam selepas polis dimaklumkan mengenai kejadian susulan rakaman kejadian jenayah itu tular di media sosial sejak pagi Isnin.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 39 saat itu menyaksikan kedua-dua lelaki berkenaan berpura-pura membeli sesuatu di kedai berkenaan.
Suspek pertama yang berada di dalam kedai itu dilihat ingin membuat pembayaran sebelum suspek kedua tiba sambil membawa satu beg plastik berwarna putih.
Kedua-dua suspek kemudian menyamun warga emas yang sedang duduk, dengan suspek pertama menolak dan menahan warga emas sementara rakan jenayahnya mengambil wang di bawah meja.
Kedua-dua suspek kemudian melarikan diri dengan sejumlah wang menggunakan sebuah motosikal yang diparkir tidak jauh dari kedai mangsa.
Bagaimanapun, hasrat kedua-dua suspek untuk menikmati hasil rompakan itu tidak tercapai apabila kedua-duanya ditangkap oleh pasukan polis kurang dari tempoh 24 jam.
Kedua-dua suspek kini ditahan reman. Pihak polis mengingatkan orang ramai agar tidak menularkan sebarang video berkaitan kejadian jenayah kerana ia menganggu proses siasatan.
utusanborneo.com.my/2022/03/01 |