
PENGHARGAAN: Batholomew menyampaikan surat penghargaan kepada orang awam yang membantu menangkap suspek kes samun baru-baru ini.
PAPAR: Polis menasihatkan orang awam serta masyarakat agar berhati-hati apabila berdepan dengan penjenayah.
Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata pihaknya amat mengalu-alukan maklumat serta kerjasama daripada orang awam dalam membantu penugasan PDRM bagaimanapun dalam masa sama masyarakat perlulah sentiasa peka lebih-lebih lagi berkenaan isu keselamatan apabila menghadapi detik cemas terbabit.
“Kita mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan keberanian yang ditunjukkkan oleh orang awam dalam membantu pihak PDRM bagi membenteras penjenayah di daerah ini khasnya.
“Dalam keadaan berhadapan dengan penjenayah, orang awam perlu mengutamakan keselamatan diri dan berhati-hati bagi mengelakkan perkara buruk berlaku kepada diri sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Surat Penghargaan kepada orang awam yang membantu menangkap suspek kes samun baru-baru ini di sini.
Batholomew berkata majlis ini juga adalah sebagai penghargaan kepada pihak yang berani membantu pihak PDRM membenteras kes jenayah di daerah ini.
Turut hadir Ketua Bahagian Siasatan Jenayah serta Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti IPD Papar.
utusanborneo.com.my/2022/03/01 |