
BAGUS: Robert menunjukkan isyarat 'bagus' semasa melihat sendiri kemudahan yang disediakan CBB BSN di Pekan Bingkor.
KENINGAU: Perkhidmatan Cawangan Bank Bergerak (CBB) BSN mula beroperasi di Pekan Bingkor bermula kelmarin bagi membantu urusan perbankan penduduk setempat.
Turut ditawarkan ialah perkhidmatan perbankan seperti transaksi pengeluaran wang tunai melalui Mesin Teler Automatik (ATM), pembukaan akaun, pembayaran bil-bil utiliti, termasuk bantuan orang tua dan sebagainya.
Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik sempat hadir ke lokasi tersebut bagi menyaksikan sendiri kemudahan terbabit dan pada masa sama menunjukkan sokongan terhadap kemudahan tersebut.
Kehadiran Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor adalah satu sokongan kepada usaha pembukaan CBB BSN di pekan itu.
Pelanggan dialu-alukan berurusan di CBB ini pada setiap hari Rabu bermula jam 10.00 pagi hingga jam 2.00 petang.
"Semoga dengan pembukaan CBB BSN ini dapat memenuhi keperluan perbankan masyarakat setempat khususnya golongan warga emas dan penduduk kampung dalam kalangan petani dan pekebun.
"Dengan adanya perkhidmatan ini ianya lebih memudahkan urusan mereka di mana selama ini terpaksa berpusu-pusu berbaris bagi mendapatkan keperluan perbankan di kaunter utama BSN di pekan Keningau, seiring dengan visi BSN iaitu 'Tiada Rakyat Malaysia yang Ketinggalan', " kata Robert.
Sementara itu penduduk yang hadir kekaunter itu rata-rata menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Robert atas usahanya sehingga CBB BSN ini dibuka di pekan itu.
CBB BSN ini merupakan kenderaan yang telah diubah suai bagi menempatkan satu unit ATM dan kaunter pelanggan menggunakan terminal Pos Ejen Bank (EB).
utusanborneo.com.my/2022/03/03 |