
NOTIS: Antara pondok haram yang diberikan notis dan akan dirobohkan.
LAHAD DATU: Sebanyak empat pondok yang disyaki menjadi persinggahan penjenayah rentas sempadan di perairan Hammerhead, di sini dirobohkan menerusi Op Gasak Laut, Sabtu lalu.
Operasi yang diketuai Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) itu bertujuan untuk menjalankan pemeriksaan terhadap semua pondok dan penempatan haram di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata pondok yang dirobohkan itu semuanya tidak berpenghuni dan dipercayai tempat persinggahan penjenayah.
“Sepanjang Op Gasak Laut dijalankan seramai 63 individu yang tinggal di pondok telah diperiksa dan tiada tangkapan dibuat.
“Selain itu, sebanyak 18 pondok di kawasan tanah kerajaan diperiksa, 14 daripadanya diberikan notis mengosongkan pondok,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Katanya, Op Gasak Laut ini adalah usaha pasukan keselamatan mengekang jenayah seperti penculikan, rompakan dan penyeludupan di perairan ESSZONE.
“Kita juga mahu memastikan setiap struktur yang dibina mempunyai lesen atau kebenaran dari pihak berkuasa.
“ESSCOM juga sedang memperincikan jumlah terkini pondok-pondok haram yang ada di sekitar perairan ESSZONE,” katanya.
Hamzah berkata tindakan yang dilaksanakan itu bagi memastikan setiap struktur yang dibina tidak disalahgunakan oleh penjenayah.
“Semua pemilik struktur diminta mendapatkan kebenaran atau lesen untuk pondok yang dibina supaya tidak dikenakan tindakan,” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/03/09 |