CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 373|Reply: 0

[Kelantan] Pak Nan pakar sobek perahu kolek

[Copy link]
Post time 23-3-2022 08:54 AM | Show all posts |Read mode

PAK Nan menunjukkan lukisan burung diukirnya pada perahu kolek milik nelayan di Kampung Pulau Gajah, Sabak, Kota Bharu. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED


KOTA BHARU: Ketika tukang sobek atau ukir perahu kolek semakin sukar dicari di Kelantan, Zulkarnan Hashim, 59, tetap setia melakukan pekerjaan tradisi itu sejak 20 tahun lalu di Kampung Pulau Gajah, Sabak di sini.

Perahu kolek merupakan sejenis perahu kecil berukuran sembilan hingga 11 meter panjang yang diukir dengan pelbagai corak bunga atau haiwan dan menjadi pengangkutan tradisional masyarakat Melayu di pesisir pantai.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Zulkarnan atau lebih mesra dipanggil Pak Nan berkata, kerja-kerja mengukir mengambil masa berminggu-minggu atau berbulan-bulan bergantung kepada saiz perahu kolek.

Dalam tempoh 20 tahun katanya, dia sudah berjaya mengukir lebih kurang 200 perahu kolek, selain membaiki beratus-ratus perahu kolek milik nelayan dari kawasan berhampiran yang rosak dengan bantuan sepupunya, Imran Zakaria, 35.

“Setiap kali musim tengkujuh tiba, nelayan tidak dapat turun ke laut. Jadi inilah masa untuk mereka hantar perahu kolek masing-masing untuk disobek dengan corak motif bunga atau haiwan seperti kera putih, burung atau naga.

“Selain itu, ada juga yang hantar perahu kolek kepada saya untuk dibaik pulih atau dicat semula supaya kembali cantik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Gajah baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Pak Nan berkata, kadar upah dikenakan untuk mengukir perahu adalah antara RM800 hingga RM2,000, bergantung kepada saiz perahu serta kesukaran corak yang diminta pelanggan.

Katanya, setiap perahu yang diukir kemudiannya akan diwarnakan dengan cat berkualiti yang mampu bertahan antara empat hingga lima tahun sebelum dicat semula bagi mengekalkan keindahannya.

“Sekarang ini tinggal enam orang sahaja di kampung ini yang pandai menyobek perahu kolek dengan rata-rata mereka berusia 60 tahun ke atas. Golongan belia tidak minat buat kerja ini kerana ambil masa lama.

“Selain kekurangan pakar sobek, kita juga sudah tidak ada pakar buat perahu kolek. Proses menghasilkan perahu kolek memang rumit, ditambah pula kesukaran mendapatkan kayu cengal. Sekarang tinggal 20 buah perahu kolek sahaja di kampung kami,” katanya. – UTUSAN
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-1-2025 11:16 AM GMT+8 , Processed in 0.052083 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list