|
Edited by mattzzx at 23-3-2022 01:38 PM
SHAFIEN (kiri) bersama pegawainya menunjukkan lori yang membawa 987 kotak pelbagai jenis mercun pada sidang media, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Kuala Krai: Taktik licik sindiket penyeludupan mercun yang membawa bekalan terlarang itu menggunakan lori dan menutup dengan kain kanvas untuk ke Johor, digagalkan polis di Jalan Batu Jong, di sini, Ahad lalu.
Dalam operasi pada 3.30 petang itu, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 57 tahun termasuk pemandu lori ditahan selain 987 kotak berisi pelbagai jenis mercun bernilai RM45,000 dirampas.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, ketika kejadian, dua anggota unit kereta peronda (MPV) yang melakukan rondaan di kawasan berkenaan mendapati sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata, lori itu dipandu seorang lelaki selain terdapat dua rakannya dalam kenderaan dari arah Kota Bharu ke Kuala Krai itu.
"Anggota MPV menahan lori itu dan hasil pemeriksaan berjaya merampas 987 kotak berisi pelbagai jenis mercun dianggarkan bernilai RM 45,000.
"Turut dirampas sebuah lori Nissan dan tiga telefon bimbit sebelum soal siasat mendapati mereka mahu menghantar bekalan mercun ke Johor.
"Tiga lelaki berkenaan menjadi 'transporter' dan kita akan menyiasat dalang di sebalik aktiviti penyeludupan ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai, di sini, hari ini.
Beliau berkata, hasil semakan rekod turut mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Menurutnya, pihaknya percaya mercun itu untuk dijual sempena Ramadan tidak lama lagi dan ini adalah rampasan mercun pertama di Kelantan.
"Ketiga-tiga suspek direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
"Polis akan perketat kawalan sempadan bagi mengekang kegiatan penyeludupan mercun serta barangan terlarang yang lain," katanya.
|
|