|
Kuala Terengganu: Kerajaan negeri membenarkan aktiviti berbuka puasa di kawasan lapang termasuk di padang sekitar jambatan angkat sepanjang Ramadan akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kebenaran itu diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM), semalam.
Bagaimanapun, katanya, penganjur bazar Ramadan diminta memastikan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk melakukan penjarakan fizikal.
"Walaupun SOP bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri dilonggarkan, tetapi pengunjung terutama yang disahkan positif Covid-19 serta diarahkan menjalani kuarantin tidak boleh hadir ke lokasi berkenaan.
"Kanak-kanak berusia bawah 12 tahun disaran tidak ke bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri bagi mengelak jangkitan Covid-19," katanya kepada media pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun), di sini, hari ini.
Dr Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tunggal berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan KKM akan menempatkan pegawai dan anggota penguat kuasa untuk melakukan pemantauan di semua lokasi bazar Ramadan.
Katanya, PBT juga akan menyediakan tong sampah di kawasan lapang untuk kemudahan pengunjung membuang sisa makanan.
Orang ramai mengambil peluang berbuka puasa bersama keluarga di Pantai Batu Buruk. FOTO ARKIB NSTP
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|