|
Anggota PPM menunjukkan peralatan rokok elektronik dirampas di sebuah kedai kosong di Kampung Simpangan petang semalam, yang dianggarkan bernilai RM519,300. - FOTO IHSAN PPM
TUMPAT: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor merampas pelbagai peralatan rokok elektronik atau e-rokok dianggarkan bernilai lebih setengah juta, semalam.
Rampasan dibuat jam 5 petang di sebuah kedai kosong di Kampung Simpangan, dekat sini, dipercayai dijadikan lokasi transit barangan itu sebelum diseludup ke Thailand.
Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, dalam penugasan sempena Op Landai/Op Kontraban di kawasan itu, anggotanya menerima aduan sebelum menjalankan pemantauan di lokasi berkenaan.
"Apabila sampai di premis itu, didapati pintunya tidak berkunci dan tiada penghuni sebelum anggota kami menyerbu masuk bagi menjalankan pemeriksaan.
"Kami menjumpai sejumlah pod vape, katrij serta cecair untuk kegunaan rokok elektronik itu dan secara keseluruhan nilainya dianggarkan RM519,300.
"Kami percaya semua rampasan ini akan diseludup ke Thailand dan premis itu dijadikan sebagai stor simpanan sementara atau transit," katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Norzaid berkata, pihaknya menunggu hampir sejam selepas serbuan, namun tiada sesiapa tampil mengaku sebagai pemilik barangan itu.
Semua barangan rampasan dibawa balik ke Markas Operasi PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen13 (a) Akta Racun 1952.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|