|
Penduduk melihat kerja-kerja baik pulih jambatan sementara Kampung Belukar Bukit. FOTO NAZDY HARUN.
Kuala Berang: Penduduk Kampung Belukar Bukit dan sekitarnya mampu menarik nafas lega apabila jambatan menghubungkan kampung itu dengan Kampung Sekayu kini dalam proses dibaik pulih.
Penduduk Jamil Mamat, 39, berkata dia bersyukur kerana kerja-kerja baik pulih jambatan yang rosak akibat banjir pada 27 Februari lalu sedang dijalankan.
Menurutnya, jambatan yang menyambungkan kampungnya dengan Kampung Sekayu adalah laluan utama yang memendekkan jarak perjalanan untuk ke bandar Kuala Berang.
Katanya, selain itu jambatan berkenaan menjadi nadi penting kepada pelajar untuk berulang-alik ke sekolah setiap hari.
"Saya difahamkan jambatan sementara ini akan siap pada hujung bulan ini dan kontraktor juga dilihat melakukan kerja siang dan malam bagi menyegerakan kerja baik pulih berkenaan.
"Walaupun keadaan sekarang sedikit merumitkan kerana perlu melalui jalan yang lebih jauh untuk menghantar anak-anak ke sekolah, saya tetap bersyukur kerana kerajaan membaiki jambatan ini," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Rakannya, Mohd Zainudin Osman, 37, berkata kerja baik pulih jambatan untuk kegunaan sementara penduduk disambut baik kerana ia adalah salah satu laluan singkat untuk ke bandar.
"Saya berharap jambatan sempurna akan dibina bagi menggantikan jambatan sementara ini berikutan laluan Kampung Belukar Bukit melalui Kampung Peneh dan Lubuk Periuk akan berlaku banjir terutama pada musim tengkujuh.
"Apabila kedua-dua jalan kampung terbabit terputus maka jalan Kampung Sekayu ini masih boleh dilalui sekiranya jambatan ini tidak rosak akibat banjir yang berlaku akhir bulan lalu," katanya.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|